Sunday, November 15, 2009

Bekal Ke Sekolah

Membawa bekalan ke sekolah mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan kerana masakan itu disediakan oleh ibu sendiri. Bukankah air tangan ibu penting dalam mendidik anak-anak yang akan patuh dan membalas kasih sayang yang ditunjukkan? Biarpun hanya dua keping roti bersapu mentega/majerin dengan taburan gula, jem atau serikaya, ia lambang sebuah kesinambungan antara anak, ibu dan keluarga secara keseluruhan. 

Tentu sekali bagi ibu-ibu surirumah sepenuh masa, tiada masalah kerana mereka tidak perlu bergegas ke pejabat. Bekalan yang lazimnya dibawa selain sandwich adalah nasi atau mi serta mihun goreng. Dengan campuran udang atau ayam dan sayur lain, ia hidangan yang sempurna. Jika anda menyediakan semua bahan asas terlebih dulu - kisar bawang, potong sayur dll - masa menggoreng tidak sampai 15 minit. 

 Apa yang paling penting bila menyediakan bekalan anak ke sekolah?  

* mudah - tidak rumit untuk dibuat (jimat masa)
* murah - menggunakan bahan asas yang mudah diperolehi (jimat wang)
* seimbang - mengandungi karbohidrat, protin dan zat lainnya

Sumber karbohidrat selain roti putih atau wholemeal (gandum tulen) ialah roti pita, croissant, ban. Sandwich yang biasa selain sardin atau tuna, ialah telur rebus yang dicampur mayonis dan thousand island dressing atau telur scramble.  

Untuk kelainan, belah 2 roti pita dan sumbatkan dengan isian yang disukai oleh anak-anak. Jangan lupa salad, timun atau tomato untuk zat tambahan. Jika membuat nugget atau sosej goreng, pastikan ada mafin lobak atau roti dengan keju serta buah (epal, oren, pisang) yang mampu memberi diet seimbang untuk anak anda. Sekiranya anak hanya suka makan telur dan ayam, misalnya, ciptakan kelainan. 

Contohnya, bila membuat telur dadar, campurkan dengan sedikit parutan kentang atau pasta rebus (karbohidrat memberi tenaga). Selain digoreng, ayam boleh direbus, dikukus atau dibakar. Jangan putus asa memperkenalkan makanan lain dalam jumlah yang sedikit pada mulanya. Ini adalah kerana sesetengah kanak-kanak memang sukar tetapi keadaan ini selalunya berubah bila mereka meningkat dewasa.

 Pastikan juga bekas makanan dan minuman menarik supaya anak-anak gembira membawanya ke sekolah. Jika anak suka berkongsi makanan dengan rakan-rakan, apa salahnya memberi dia bekalan yang lebih? Andaikata anak anda memberi bekalannya pada kucing pada waktu rehat, beritahu dia betapa penting makanan tersebut untuk dirinya sendiri. 

Sikap penyayang baik tetapi harus kena pada tempatnya. Ajak anak-anak ke dapur untuk membuat brownies, biskut dll yang boleh dibawa sebagai bekalan. Ini akan menyemaikan rasa tanggungjawab di samping dapat memupuk semangat yang baik. Tidak salah memberi duit tetapi haruslah menggalakkan dia menabung dan berjimat cermat. 

Elakkan dari membeli jajan yang tidak berkhasiat dan mengandungi banyak bahan pengawet serta pewarna tiruan. Ajar anak-anak dengan cara yang berhemah dan lembut supaya mereka tahu bahawa perhatian yang anda tunjukkan adalah demi kasih sayang pada mereka. 


 

Peristiwa Pilu 11 April 2021

       Assalamualaikum sahabat, Inilah foto kami yg terakhir, di majlis konvo pada 30 Mac 2021. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِن...